Skip links

Kolaborasi antara UCYP dan MUIP untuk Dana Wakaf UCYP

University College of Yayasan Pahang mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi  penubuhan Dana Wakaf UCYP. Penubuhan dana tersebut adalah selaras dengan usaha pemerkasaan perkembangan sektor pendidikan melalui sumber endowmen, wakaf dan zakat.

Mengambil saranan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor & Konvokesyen UCYP pada 25 Mac lalu, UCYP mengatur langkah bagi merealisasikan agenda pembangunan Dana Wakaf Pendidikan yang dapat memberi manfaat kepada golongan B40 serta kumpulan masyarakat yang memerlukan. Selain itu, penubuhan Dana Wakaf UCYP bertujuan untuk membangunkan prasarana dan infrastruktur pembelajaran demi keselesaan dan keperluan pelajar dan pembangunan universiti serta memperkasakan UCYP sebagai model perintis di dalam pembangunan dana wakaf pendidikan di negeri Pahang.

Bagi mempergiatkan usaha dan promosi Dana Wakaf UCYP, tabung ini akan mendapat sokongan penuh daripada pihak alumni, syarikat korporat dan seterusnya masyarakat umum untuk menyalurkan sumbangan. Tabung ini diharapkan dapat disempurnakan oleh Tuanku Canselor UCYP, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Umumnya, sebahagian besar dana wakaf ini adalah untuk kebajikan dan pembangunan, manakala sebahagian lainnya akan digunakan untuk pelaburan semula dan pengurusan wakaf. Antara aktiviti kebajikan  yang dicadangkan adalah dermasiswa, hadiah kecemerlangan dan skim bantuan pelajar. Sementara itu, sejumlah dana akan dilaburkan semula ke dalam tabung, dan sejumlah lagi akan digunakan untuk akativiti-aktiviti pengurusan wakaf.

Dalam pelaksanaan Dana Wakaf UCYP ini, model segi tiga digunakan kerana  tiga jenis pemasaran terlibat bagi memastikan objektif tabung ini tercapai dan dapat membina serta mengekalkan hubungan baik untuk jangka masa panjang antara organisasi dan penyumbang. Latihan yang berterusan dan pendedahan yang luas berkaitan pengurusan wakaf amat diberi perhatian bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

Diharapkan semoga semua organisasi dan masyarakat dapat membantu perkembangan Dana Wakaf UCYP demi meringankan beban para pelajar bagi mencapai impian dan cita cita mereka. Secara tidak langsung, memberi kesan positif kepada mobiliti sosial masyarakat negara.

 

              
Penubuhan Dana Wakaf UCYP                   Naib Canselor UCYP bersama Timbalan Yang Dipertua MUIP

  
Dana Wakaf UCYP dirangka untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan

 

Penulis

Che Ku Noor Azlina Binti Che Ku Abdullah

Pengurus Unit Tajaan

Nur Anis Syazwani Binti Azhar

Pelajar Latihan Industri Branding & Corporate Communication

Return to top of page
Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com