Skip links

Momen indah UCYP bersama Tuanku Canselor

Suasana tenang di Mana-Mana café Kuantan menjadi kenangan indah dan bermakna buat UCYP dan KYP Advanced Skills kerana Tuanku Canselor UCYP, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sudi mencemar duli ke majlis santapan minum petang.

Kehadiran Tuanku Canselor bersama anakanda baginda YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah disambut oleh Naib Canselor UCYP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Zainuddin dan beberapa orang pengurusan tertinggi UCYP dan KYP Advanced Skills.

Dalam pertemuan tersebut, Naib Canselor UCYP turut mempersembahkan taklimat ringkas berkenaan dengan Majlis Santapan / Jamuan Diraja bersempena dengan pelancaran Tabung Pendidikan Tuanku Canselor UCYP yang bakal berlangsung di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan pada 6 Oktober 2019 ini.

Tabung tersebut merupakan idea Tuanku dalam Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen UCYP pada Mac lalu. Dalam majlis tersebut, baginda bertitah agar diwujudkan satu dana atau tabung pendidikan bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan. Kesungguhan cetusan idea yang dititah Tuanku memperlihatkan sisi Tuanku yang amat perihatin akan soal pendidikan dan kebajikan rakyat Pahang khususnya siswa-siswi di UCYP. Dalam majlis tersebut, baginda turut menyeru agar agensi kerajaan, swasta serta individu supaya bersama-sama menyumbang kepada tabung pendidikan berkenaaan.

Pada pertemuan ringkas ini juga, Baginda Tuanku turut perkenan mewakili KYP Advanced Skills untuk menerima sijil pengiktirafan di peringkat dunia oleh World Association of Chef Societies sebagai kolej yang di iktiraf penuh di peringkat dunia. Persembahan sijil tersebut dipersembahkan oleh Wakil Chef Asia, Chef Yau Kok Kheong kepada Baginda Tuanku.

Mengenali hobi Tuanku yang gemar memasak dan seringkali mendapat perhatian netizen di Instagram, Baginda Tuanku juga turut  berkongsi tentang idea penubuhan sebuah institusi De’ Royal Azizah Cullinary School dan turut mengalu- alukan penglibatan KYP Advanced Skills bagi pembangunan institusi berkenaan. Berbicara tentang penubuhan institusi tersebut, Baginda Tuanku secara bersahaja merancang  mencemar duli untuk bersama-sama memasak di situ dan hasil air tangan Baginda Tuanku akan dijual kepada rakyat jelata khususnya di sekitar negeri Pahang. Ia sudah semestinya membuatkan rakyat Pahang tidak sabar menunggu untuk merasai air tangan Raja Permaisuri Agong itu.

Di akhir pertemuan tersebut, Baginda Tuanku telah diberikan kejutan oleh pengurusan tertinggi UCYP dan KYP Advanced Skills serta berkenan memotong kek sempena sambutan hari keputeraan Baginda. Ini dapat dilihat dengan aksi spontan dan bersahaja Tuanku bersama pengurusan UCYP dan KYP Advanced Skills yang begitu akrab.

Sebelum berangkat pulang, Baginda Tuanku turut membawa semua pengurusan tertinggi UCYP, KYP Advanced Skills dan jemputan untuk bersiar-siar bersama Tuanku sambil mengabadikan momen indah di sekitar Sungai Kuantan.

Return to top of page
Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com