Skip links

UCYP : Ke Arah 28 tahun kekal Unggul

Menjelang ulangtahun UCYP yang ke 28 tahun, University College of Yayasan Pahang (UCYP) terus unggul mendominasi arus pembangunan akademik di Malaysia. Bangunan yang tersergam indah kini telah menjadi satu mercu tanda hub pendidikan di Pantai Timur.

Dibina di atas tanah berkeluasan 6.5 ekar dengan keluasan terbina 86,760 meter persegi ini, bangunan akademik UCYP dan perpustakaan universiti telahpun secara rasmi diserahkan oleh kontraktor yang dilantik oleh UCYP dalam majlis serahan kunci bangunan yang telah berlangsung 4 September 2019 yang lalu.

Menuju masuk ke perkarangan UCYP, sudah pasti dapat melihat persekitaran dengan reka bentuk bangunan yang dibina menggabungkan elemen moden dan alam semula jadi. Bangunan akademik setinggi 2 tingkat itu mampu menempatkan 2000 orang pelajar di mana terdapat 12 buah bilik tutorial, 7 buah bilik kuliah, 2 buah bilik kuliah teater dan 2 buah makmal komputer, serta turut dilengkapi dengan sebuah auditorium yang mampu menampung seramai 450 orang pelajar dalam satu masa.

Sebuah jambatan yang dibina di antara ruang legar boleh menghubungkan antara zon bilik kuliah dan zon pentabiran. Ruang legar yang luas itu bakal digunakan untuk pelajar melakukan sebarang aktiviti serta ianya boleh dijadikan sebagai informal learning area.

Ciri-ciri penjimatan tenaga juga boleh dilihat dalam reka bentuk ini dengan menggunakan sistem pencahayaan dan pengudaraan semula jadi malahan Rain Water Harvesting turut menjadi salah satu konsep hijau kepada bangunan ini.

Selain itu, bangunan ini turut dilengkapi penghawa dingin dengan menggunakan sistem isipadu penyejuk Ubah (VRV) Variable Refrigerant Volume,yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Apa yang bakal menarik perhatian mahasiswa dan pengunjung ke UCYP adalah sudah semestinya bangunan perpustakaan universiti. Rekaan bangunan berbentuk Oval dan berdindingkan kaca menjadikan ruangan lebih luas selain menampakkan ciri-ciri mewah dan eksklusif selain melambangkan ‘The Brain of The University’ yang menjurus kepada daya fikir yang kreatif , unik dan fleksibel.

Rekaan bumbung juga tampak unik di mana ia direka dengan bentuk simetri yang melambangkan keseimbangan pembangunan dari aspek pemikiran bagi membentuk sahsiah pelajar yang sempurna. Malahan rekaan bumbung itu juga direka secara organik dan dinamik yang sekiranya dilihat dengan matakasar akan memberikan gambaran yang berbeza dari segenap sudut penglihatan , dan ada diperlihatkan sudut yang menunjukkan simbol infiniti. Ini memberikan penegasan di mana ilmu yang didapati disini tiada henti dan berterusan.

Manakala unjuran bumbung yang kelihatan lebar adalah kesinambungan dari bentuk yang dinamik dapat memberikan lonjakan dan manafaat yang meluas dan menerus dari cetusan daya pemikiran seiring dengan slogan UCYP – An Adaptive University.

Melengkapi konsep dan perincian kepada lanskap UCYP, komponen tasik tadahan air dijadikan sebagai satu elemen penting bagi sentuhan hiasan lanskap semula jadi. Elemen ini mampu memberi satu suasana yang menggabungkan di antara pembelajaran dan alam sekitar dan ianya pasti mencipta satu ketenangan ketika berada di dalam perpustakaan universiti .

Dengan usia yang bakal menjengah ke 28 tahun, UCYP terus dilihat unggul dan relevan dalam industri pendidikan negara malah juga antarabangsa. Dengan terbinanya sebuah bangunan baharu sekali gus menjadikan ia satu mercu tanda dan kebanggaan seluruh warga UCYP termasuklah mahasiswa dan alumni serta penduduk setempat.

UCYP terus unggul!

Return to top of page
Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com