Skip links

UCYP Semarak Quran Hour 2019

Alunan ayat-ayat Al-Quran telah bergema di Auditorium UCYP Kampus Utama Tanjung Lumpur sempena program #UCYPQuranHour2019 yang telah dihadiri seramai lebih kurang 200 orang kakitangan dan pelajar UCYP pada hari ini.

Program sebegini merupakan yang pertama diadakan di auditorium baharu selepas penyerahan rasmi kunci bangunan akademik UCYP awal September lalu.

Menurut Pengarah Program #UCYPQuranHour2019, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar & Alumni, Assistant Prof. Dr. Azhar Jaafar,  sungguhpun World Quran Hour telahpun berlangsung serentak pada 30 ogos lalu di seluruh dunia, namun sebagai umat Islam yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan, ianya boleh dibaca tanpa mengira waktu dan tempat.

Tambahnya lagi, program ini dilihat mampu menggalakkan warga  UCYP khususnya yang beragama Islam supaya membaca dan mendalami  ajaran yang terkandung dalam kitab agung tersebut.

Pada penganjuran kali ini, #UCYPQuranHour2019 turut mengalunkan surah Al-Kahfi sebagai tema yang membawakan panduan untuk menghadapi cabaran akhir zaman.

Surah Al-Kahfi mempunyai pelbagai kisah yang boleh dijadikan pengajaran serta jawapan kepada penyelesaian masalan ketika ini. Antara cabaran yang boleh diambil daripada surah ini adalah tentang iman, harta, ilmu pengetahuan dan kuasa.

Melalui penghayatan surah ini, ia mampu melahirkan individu melalui model Al-Quran tadabbur dan tazakkur serta memberikan persediaan dari aspek fizikal, emosi, intelektual, spiritual dan sosial bagi menghadapi dunia globalisasi dengan berpandukan Al-Quran sebagai rujukan.

Program yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu berakhir dengan tazkirah bertajuk “Al-Quran Membina Tamadun” yang disampaikan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Raub, Tuan Haji Zainudin bin Zakaria Al-Hafidz.

Return to top of page