Skip links

UCYP, KYP dan KRU metrai perjanjian

Lebih dari 300 orang pelajar UCYP, KYP serta pengurusan tertinggi UCYP dan KYP telah menjadi saksi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara UCYP, KYP dan Yayasan KRU di Auditorium Kampus Utama UCYP Tanjung Lumpur semalam.

Kerjasama strategik ini merupakan langkah yang tepat ekoran perkembangan pendidikan yang selari dengan perubahan teknologi. Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad Bin Hj. Zainuddin berkata bahawa, inisiatif kerjasama ini direalisasikan demi kepentingan perkembangan ilmu dan kemahiran mahasiswa UCYP dan KYP. Rangkaian kerjasama ini adalah platform untuk mahasiswa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam mendepani revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) khususnya dalam bidang seni kreatif.

Sementara itu, Presiden Yayasan KRU, Dato’ Norman Abd Halim mengumumkan tentang program Contentprenuer 2020 yang  dapat memberi manfaat kepada golongan muda dalam bidang seni kreatif dan keusahawanan. Latihan dan pendedahan yang optimum akan diberi agar generasi muda lebih bersedia dan yakin untuk menempuhi dunia keusahawanan sebenar. Geran Program Contentpreneur 2020 bernilai RM50 000 akan diberi kepada dua (2) orang pelajar UCYP / KYP yang berkelayakan.

MoU ini diwakili oleh Naib Canselor UCYP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin, Ketua Eksekutif KYP En. Jalaludin bin Abdullah, Presiden Yayasan KRU Dato’ Norman bin Abdul Halim serta Ketua Pegawai Eksekutif Akademi KRU En. Noor Hafeez bin Noor Hashim. Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nor.

Kerjasama yang dimeterai ini dilihat mampu memberikan ruang yang terbaik kepada mahasiswa UCYP dan KYP untuk meneroka lebih banyak peluang dan pengalaman yang bakal diperoleh bersama Yayasan KRU terutama di dalam bidang seni kreatif.

Di akhir pertemuan, Presiden Yayasan KRU, Dato’ Norman bin Abdul Halim turut berkongsi ilmu dan pengalaman beliau di dalam industri seni kreatif ini kepada lebih daripada 300 pelajar UCYP dan KYP.

Return to top of page
Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com