Skip links

UCYP-FAMA Lahirkan Mahasiswa Bergelar Usahawan

Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UCYP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta pelancaran program New Breed Marketing Entrepreneur telah berlangsung pada 25 September lalu di Kampus Utama UCYP, Tanjung Lumpur.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman ini telah dihadiri oleh Naib Canselor UCYP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dan Pengarah FAMA Negeri Pahang, Tuan Haji Rosli bin Aw Da.

Kerjasama di antara UCYP dan FAMA ini dilihat sebagai satu inisiatif UCYP bagi memberikan pendedahan berterusan dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkualiti dalam akademik serta dilengkapi dengan nilai keusahawanan yang tinggi.

Dalam majlis yang sama juga turut diadakan majlis penutup NEW BREED MARKETING ENTREPRENEUR (NBME) sesi 2019. Program ini merupakan satu program kolaborasi di antara UCYP dan FAMA yang telah bermula pada Jun 2019 dengan melibatkan pelajar dari program Diploma Pemasaran, Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Pengurusan Teknologi seramai 120 orang.

NEW BREED MARKETING ENTREPRENEUR (NBME) FAMA-UCYP, merupakan satu program pemasaran yang dijalankan oleh pelajar UCYP untuk memberi bantuan promosi dan jualan produk usahawan Industri Asas Tani (IAT) mengikut kreativiti dan strategi pemasaran masing-masing.

NBME ini adalah reseller atau agen dropship yang mana ia merupakan salah satu cabang perniagaan atas talian yang mudah serta menggunakan modal yang minimum.

Justeru, program ini adalah tepat ke arah melahirkan usahawan di kalangan mahasiswa di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, strategi pemasaran serta ilmu pemasaran yang berkesan.

Dalam tempoh tiga bulan, mahasiswa UCYP telahpun berjaya membuat jumlah jualan sebanyak RM 42,017.45.

Seramai tiga (3) orang mahasiswa UCYP telah disenarai pendek sebagai pemenang program  iaitu tempat pertama Nur Damia Qistina Rohezat dengan nilai jualan sebanyak RM6,987.80, tempat kedua Syakila Sofian, RM 5,832.40 dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Fitri Azhari dengan jualan sebanyak RM RM3,706.80.

Menerusi kerjasama strategik yang dilakukan, ia dilihat mampu memberikan ruang yang terbaik kepada mahasiswa UCYP dalam meneroka lebih banyak peluang dan pengalaman dalam bidang keusahawan serta dapat membantu usahawan Industri Asas Tani (IAT) bagi mempromosikan dan meningkatkan jualan produk mereka.

120 orang peserta iaitu pelajar dari UCYP yang terlibat dalam program NBME UCYP-FAMA mengambil kesempatan bergambar dengan Naib Canselor UCYP Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin dan Pengarah FAMA Negeri Pahang, Tuan Haji Rosli Aw Da.

Return to top of page
Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com