Skip links

Rekaan Fesyen dan Tempat Majlis Perkahwinan di UCYP?

Bertempat di Aqua Crystal Hall, Kampus Utama UCYP telah berlangsungnya satu majlis minum petang dan pertunjukan fesyen – UCYP Hi-Tea & Fashion Show 2020 yang dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Sri Dato’ Burhah Binti Mohammed, isteri kepada YAB Menteri Besar Pahang yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI). Hampir 250 orang tetamu hadir termasuklah pereka-pereka fesyen di sekitar Kuantan serta pereka fesyen terkenal, saudara Salikin Sidik. Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin dan isteri.

Mengangkat tema Tradisional Moden, pertunjukan fesyen ini mendapat kerjasama daripada lima (5) buah butik pengantin sekitar Kuantan antaranya adalah Exotic Collection, Ujies Collection, Malaque Bridal House, Adamaya Collection dan Adlyana Bridal. Pereka busana tradisional, Salikin Sidek turut memperagakan koleksi hasil tangan beliau kepada tetamu.

Selain daripada pertunjukan fesyen, UCYP turut memperkenalkan program baharu Diploma Rekaan Fesyen (Diploma in Fashion Design) yang bakal memulakan pengambilan pertama pada bulan Jun nanti.

Revolusi fesyen yang berkembang seiring dengan peredaran zaman telah mencetuskan satu fenomena kepada remaja kini. Justeru, UCYP telah mengambil inisiatif  memperkenalkan program baharu ini atas dasar pembaharuan mengikut cita rasa dan keperluan semasa.

Semasa majlis berlangsung, Yang Amat Berbahagia Datin Sri Dato’ Burhah Binti Mohammed menyatakan bahawa, misi utama majlis Hi-Tea ini adalah untuk menjadikan fesyen sebagai satu landasan yang menemukan para pereka cipta dan peminat fesyen daripada pelbagai latar belakang kebudayaan, agama dan kaum dan pada masa yang sama menyatukan masyarakat dan mengetengahkan busana ke arus perdana gaya dan fesyen di peringkat lokal dan global.

Beliau juga berkata, “Bidang ini bukan hanya memberi manfaat kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang rekaan fesyen semata-mata malah, mendorong kepada pelbagai peluang pekerjaan untuk pelbagai golongan masyarakat.”

Dalam mewujudkan program-program baharu, UCYP sentiasa peka akan keperluan sesuatu bidang yang ingin dipasarkan. Justeru, nilai  tambah keusahawanan dalam kursus baharu ini mampu menjadikan ia sebagai satu program yang  berdaya saing serta melahirkan usahawan fesyen yang berjaya.

Selain itu, majlis ini juga dianjurkan sebagai satu langkah memperkenalkan kemudahan yang ada di UCYP terutamanya di Aqua Crystal Hall yang mampu menarik perhatian bakal raja sehari untuk meraikan majlis perkahwinan mereka di sini.

Malahan, UCYP turut memperkenalkan dua (2) pakej perkahwinan serendah RM 19,888 bagi pakej emas (gold) dan RM 22,288 bagi pakej Platinum. Kedua-dua pakej ini merangkumi sewaan dewan, andaman, pelamin katering dan lain-lain.

Gambar sekretariat majlis Hi-Tea & Fashion Show

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin memberikan ucaptama beliau.

Yang Amat Berbahagia Datin Sri Dato’ Burhah Binti Mohammed officiating the Hi-Tea and Fashion Show

Terima kasih kepada pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek keran sudi menghadiri majlis Hi-Tea dan Fashion Show

Model UCYP memperagakan busana pengantin bertemakan traditional

Return to top of page