Skip links

Karnival Kelab Dan Persatuan (CLASCAR) 2020

Unit Kelab dan Persatuan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UCYP telah menganjurkan Karnival Kelab dan Persatuan (CLASCAR) di ruang legar, Kampus Utama UCYP, Tanjung Lumpur pada 19 Februari 2020.

Karnival tersebut telah mendapat jumlah penyertaan sebanyak 300 orang pelajar UCYP yang juga terdiri daripada kelab dan persatuan seperti Kelab Askar Wataniah 505, Persatuan Pendidik Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kelab Rekreasi dan Kembara dan banyak lagi. Turut hadir ke carnival tersebut ialah, Timbalan Naib Canselor UCYP (Pembangunan Pelajar & Alumni), Penolong Profesor Dr. Azhar Bin Jaafar.

Karnival ini telah dijalankan sebagai usaha UCYP dalam mendedahkan dan menggalakkan pelajar UCYP untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kelab dan persatuan serta aktif bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga dalam aspek ko-kurikulum. Ia juga membuka peluang kepada kelab dan persatuan untuk menunjukkan keistimewaan mereka bagi mempromosikan dan menarik pelajar baharu menyertai kelab mereka.

Semasa program berlangsung, Timbalan Naib Canselor UCYP (Pembangunan Pelajar & Alumni), Penolong Profesor Dr. Azhar Bin Jaafar dalam ucapannya, menekankan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik adalah sama pentingnya dengan kecemerlangan aktiviti ko-kurikulum kerana kedua-dua aspek ini dapat membantu dalam menentukan masa depan pelajar.

Beliau juga menyatakan bahawa usaha sebegini dapat meningkatkan tahap keyakinan pelajar dan pada masa yang sama meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kemahiran individu yang diperlukan bagi memastikan kelab dan persatuan sentiasa aktif.

Terdapat pelbagai aktiviti dan juga gerai-gerai yang ditubuhkan oleh kelab-kelab seperti E-Sports, PROSIS, PERSIS dan banyak lagi di mana mereka mempromosikan kelab mereka di samping menjual produk bagi menjana aktiviti kelab pada masa akan datang. Ini adalah cara yang sangat proaktif bagi mendedahkan pelajar dan ahli kelab kepada pengurusan wang dan juga perniagaan.

Karnival ini juga dimeriahkan dengan persembahan oleh kelab Taekwando dan Askar Wataniah 505 di mana mereka mepersembahkan kemahiran kelab mereka kepada orang ramai. Ia sememangnya satu demonstrasi yang menarik. Karnival tersebut diakhiri dengan aktiviti Zumba yang dikendalikan oleh Program Siswa Sihat (PROSIS).

Karnival ini diharapkan dapat menggalakkan para pelajar UCYP menjadi lebih aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan juga memberi inspirasi kepada mereka untuk mewujudkan konsep yang lebih inovatif untuk kelab dan persatuan baharu pada masa akan datang. Timbalan Naib Canselor UCYP (Pelajar & Pembangunan Alumni), Penolong Profesor Dr. Azhar Bin Jaafar mengakhiri ucapannya dengan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 50 kelab dan persatuan akan terbentuk pada masa akan datang sekiranya pelajar menunjukkan motivasi dan inovasi dalam membangunkan kelab dan persatuan UCYP.

 

Written by Wan Muhammad Safuan Bin W Ab Rahman

Timbalan Naib Canselor UCYP (Pembangunan Pelajar & Alumni), Penolong Profesor Dr. Azhar Bin Jaafar memberikan ucaptama beliau

Pelajar UCYP mengambil peluang untuk pendaftaran kelab/persatuan

Demonstrasi Kelab Taekwondo yang menarik perhatian ramai

Return to top of page