Skip links

Lawatan Muhibbah dan Akademik

Satu lawatan muhibbah oleh delegasi Pondok Pesantren Muhammadiyah Kauman Padang Panjang ke UCYP telah berlangsung pada 20 Februari 2020 di Bangunan Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.

Lawatan itu diketuai oleh empat (4) wakil dari Pondok Pesantren Muhammadiyah Kauman Padang Panjang iaitu Ustadz Surya Bunawan, Cik Derliana, Encik Amel Dahlan dan Encik Zainal Abidin.

Delegasi tersebut telah disambut baik oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Alumni UCYP), Penolong Profesor Dr. Azhar Bin Jaafar.

Lawatan itu dirancang oleh kedua belah pihak sebagai satu inisiatif bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara dua negara serumpun serta mewujudkan persefahaman antara kedua-dua institusi tersebut. Lawatan itu juga dilaksanakan untuk pesantren tersebut bertemu dengan dua (2) orang alumni mereka yang kini sedang menyambung pengajian di UCYP di bawah program biasiswa UCYP yang dikhususkan untuk pelajar sekolah madrasah. Ini dapat dilihat sebagai satu pertemuan bagi kedua-dua alumni dan delegasi.

Semasa lawatan itu, delegasi pesantren telah menyatakan rasa terima kasih mereka kepada UCYP kerana telah menjaga dan memberikan peluang kepada pelajar mereka untuk meneruskan pengajian dalam persekitaran yang berbeza. Ianya juga adalah satu peluang yang baik bagi mendedahkan mereka ke budaya yang pelbagai di Malaysia. Mereka juga berharap agar biasiswa tersebut akan berterusan bagi membantu pelajar madrasah melanjutkan pengajian mereka pada masa akan datang.

Kolaborasi sebegini dapat dilihat sebagai usaha positif UCYP dalam meluaskan keberadaannya di samping mempromosikan jenama UCYP ke skala global. Lawatan tersebut berakhir dengan delegasi Pondok Pesantren Muhammadiyah Kauman Padang Panjang menyampaikan cenderamata sebagai hadiah perpisahan dan sebagai tanda ikatan yang terjalin antara kedua-kedua institusi tersebut.

Pertemuan delegasi Pondok Pesantren Muhammadiyah Kauman Padang Panjang dengan UCYP

Hadiah apresiasi daripada Pondok Pesantren Muhammadiyah Kauman Padang Panjang kepada UCYP

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin menghidupkan suasana bersama delegasi pesantren

Delegasi Pondok Pesantren Muhammadiyah Kauman Padang Panjang bersama Naib Canselor UCYP dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Alumni)

Return to top of page