Skip links

UCYP Umum Tutup Premis Bagi Membendung Penularan COVID-19:

Berikutan daripada pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020, pihak pengurusan UCYP telah memutuskan untuk menghentikan operasi bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Perkara ini telah disahkan oleh Naib Canselor UCYP Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin. Ahmad Haji Zainuddin.

Penutupan premis selama dua minggu ini adalah sebagai langkah terbaik bagi membendung penularan Wabak COVID – 19 yang melanda dunia dan kini juga telah memberikan kesan kepada Malaysia.

Sehingga kini, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia telah mencecah 673 kes termasuk 28 kes di Pahang dan semakin membimbangkan. Meskipun kecekapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dinafikan dan wajar diberi penghargaan namun kerjasama dari semua pihak adalah dikira amat penting dan langkah pencegahan perlu diambil serius oleh semua pihak.

Tindakan ini diambil bertepatan dengan arahan Perkara Kelima Perintah Kawalan Pergerakan yang bakal berkuatkuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 dimana semua IPT di seluruh negara perlu ditutup dengan kadar segera. Langkah yang diambil ini dilihat sangat bijak dan rasional bagi membendung penyebaran wabak daripada berleluasa.

Ekoran itu, pihak pengurusan UCYP menerusi pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) telah mengambil inisiatif bagi mengaktifkan mod pengajian atas talian kepada lebih 2000 pelajar di semua kampus yang terlibat malah turut menangguhkan peperiksaan akhir semester dan akan menjadualkan semula peperiksaan akhir tersebut pada tarikh 1 – 12 Jun 2020.

Bukan sahaja akademik, malahan staf pentadbiran UCYP juga diarahkan untuk bekerja dari rumah bermula dari tarikh yang telah diumumkan.

Pihak Pengurusan UCYP berharap melalui tindakan-tindakan tersebut jangkitan Covid-19 akan dapat dicegah dengan sebaiknya.

Return to top of page