Skip links

Jom Cerita Contest- Cungkil Bakat Kakitangan & Pelajar UCYP

Penyampaian hadiah bagi Jom Cerita Contest telah berlangsung secara ringkas tetapi tetap meriah di Auditorium Aras 3, UCYP Tanjung Lumpur. Pertandingan ini telah mendapat penyertaan seramai 22 orang yang terdiri daripada 14 orang kakitangan dan 8 orang pelajar UCYP. Bagaimana situasi pandemik COVID-19 mempengaruhi atau memberi kesan terhadap kehidupan merupakan tajuk bagi pertandingan ini.

Jom Cerita Contest merupakan cetusan idea daripada Naib Canselor UCYP Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin bagi mencungkil bakat kakitangan dan pelajar UCYP dalam menghasilkan penulisan serta penghasilan video pendek berkenaan isu kesihatan yang melanda dunia ketika ini.

“Dunia kini sedang berdepan dengan pandemik sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu dan telah memberikan kesan kepada semua sektor di Malaysia. Bagi UCYP, ini merupakan satu sejarah dan pengalaman di mana pelbagai pendekatan telah diambil bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak tergendala.

Jom Cerita Contest ini telahpun berlangsung bermula 13 Mei sehingga 9 Jun dan telah mengangkat dua (2) orang pemenang bagi kategori kakitangan dan pelajar untuk anugerah UCYP Creative Award.

Shafawati Atikah binti Shapiee, pensyarah daripada Fakulti Pembangunan Insan serta Nur Arina Hazirah Binti Azman pelajar daripada fakulti yang sama telah menjuarai Jom Cerita Contest UCYP Creative Award.

“Saya sangat terharu dan tidak menjangka akan menjadi juara serta memenangi  UCYP Creative Award. Saya bersyukur apabila karya berjudul “Kepulangan yang dinanti, kerinduan yang terubat” dipilih untuk anugerah tersebut dan kemenangan ini ditujukan buat Abah. Karya yang dikongsi adalah berdasarkan pengalaman kami sekeluarga dalam menempuh cabaran dan dugaan apabila diuji dengan wabak ini”- katanya lagi.

Manakala bagi pemenang kategori pelajar, Nur Arina Hazirah Binti Azman turut tidak menyangka bahawa cerita beliau turut diangkat sebagai pemenang utama.

“Alhamdulillah terima kasih kepada juri dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad serta UCYP atas kemenangan ini. Karya yang ditulis saya bersifat santai dan menceritakan tentang pengalaman sebagai seorang pelajar, anak dan kakak yang perlu membahagi masa antara belajar dan menjaga adik-adik sewaktu PKP”, tambahnya lagi.

Kesemua pemenang saguhati dan anugerah utama UCYP Creative Award membawa pulang wang tunai beserta sijil. Wang tunai telah ditaja sepenuhnya oleh Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin.

Selain itu, majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan 100 orang pelajar yang mengikuti program ini secara virtual.

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin bersama Juara UCYP Creative Award Shafawati Atikah binti Shapiee kategori kakitangan (kiri) dan Nur Arina Hazirah Binti Azman bagi kategori pelajar (kanan).

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin turut berinteraksi bersama hampir 120 pelajar dan kakitangan UCYP yang mengikuti acara tersebut secara atas talian.

Antara peserta yang dirai dalam majlis tersebut. Tahniah semuanya!

Return to top of page