Skip links

UCYP Sertai Promosi Virtual Kedutaan MALAYSIA BEIJING

UCYP telah menyertai program promosi pendidikan tinggi secara virtual yang telah dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Beijing baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan yang telah diterbitkan oleh Berita Harian pada 7 Julai 2020 yang lalu, Pendidikan Malaysia Beijing memaklumkan promosi maya itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Pendidikan Luar Negara Beijing (BOSSA), membabitkan sebanyak 17 buah institusi pendidikan tinggi awam dan swasta termasuk University College of Yayasan Pahang (UCYP).

Menurut Naib Presiden (Enrolmen Pelajar) En. Yung Leong Lam, program ini merupakan himpunan maya pertama dan terbesar yang pernah UCYP ikuti terutamanya yang melibatkan penganjuran daripada negara china.

“Kami amat berbesar hati dan berbangga dengan pencapaian UCYP apabila turut menerima pengiktirafan daripada Ministry of Education of the People’s Republic of China pada 15 Mei lalu,” kata Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato Dr. Ahmad Bin Hj. Zainuddin.

Menyingkap lawatan UCYP ke China pada 5 November hingga 7 November 2019, UCYP telah berjaya menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah institusi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antaranya Malaysia Alumni Council of China (MACC) dan Beijing Information Science and Technology University (BISTU).

Tambah En. Yung lagi, usaha ini tidak akan terlaksana tanpa bantuan dan sokongan daripada Duta  Malaysia ke China, Yang Mulia Raja Dato’ Nurshirwan Bin Zainal Abidin serta Pendidikan Malaysia Beijing yang diwakili oleh En Abdul Aziz How Bin Abdullah  yang memberikan kerjasama yang amat baik dalam memastikan matlamat UCYP untuk menembusi pasaran China tercapai.

“Selain itu, UCYP berasa amat berterima kasih kepada Persatuan Perkhidmatan Pendidikan Luar Negara Beijing (BOSSA) dan Kedutaan Malaysia di Beijing atas usaha mengadakan promosi pendidikan secara maya.  Selain usaha sebegini, pengiktirafan yang diterima oleh UCYP mampu menarik lebih ramai pelajar China melanjutkan pengajian mereka di UCYP. Sekali gus dapat meningkatkan keberadaan jenama pendidikan UCYP di mata dunia,” tambahnya lagi.

Program tersebut yang telah berlangsung bermula 6 Julai hingga 8 Julai lalu diadakan secara maya selepas Pendidikan Malaysia Beijing mengambil inisiatif tersebut ekoran penularan COVID-19 yang melanda dunia. Pendekatan promosi secara maya dianggap bertepatan bagi mempromosikan pendidikan tinggi di Malaysia di negara China pada ketika ini.

Penghargaan daripada Naib Canselor UCYP kepada Duta Besar Malaysia ke China YM Raja Dato’ Nurshirwan bin Zainal Abidin semasa lawatan ke China tahun lalu.

UCYP berbangga menjadi salah satu daripada 17 buah pusat pengajian tinggi di Malaysia yang menerima pengiktirafan oleh Ministry of Education, People’s Republic of China. Tahniah UCYP!

Return to top of page