Skip links

Wacana Rukun Negara & Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63

Bagi menyemarakkan lagi semangat kecintaan kepada Malaysia, Tun Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership (TGS ISL), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), UCYP dan Persatuan Kebajikan Anak – anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) telah bergabung tenaga menganjurkan program Wacana Rukun Negara & Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 dan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail di Kompleks Yayasan Pahang semalam.

Program ini berjalan dengan lancar serta disertai oleh 250 orang yang terdiri daripada mahasiswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia serta badan-badan bukan kerajaan. Penganjuran program ini merupakan sebahagian dari tanggungjawab sosial bagi membangkit serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia dan pemimpin muda negeri Pahang.

Dalam ucapan perasmian Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang turut menyaran masyarakat Malaysia khususnya belia untuk memahami dan menghayati rukun negara serta mengaplikasi konsep tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

“Prinsip rukun negara perlu dijadikan panduan bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang berbilang kaum dan pelbagai etnik seperti di Malaysia”- katanya dalam ucapan perasmian program berkenaan.

Forum yang diadakan dalam Wacana Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang, mengupas tentang isu-isu semasa yang melibatkan pemahaman dan semangat patriotisme di kalangan belia. Seramai empat orang ahli panel yang terdiri daripada wakil-wakil pemimpin dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta mengambil bahagian dalam perbincangan forum tersebut. Mereka adalah Nurul Mazriefa binti Zakaria  (UMT), Mahendran A/L Shilowaras (UCYP), Mohamad Irfan bin Mohd Zamri (Ahli Parlimen Belia Malaysia, Negeri Pahang), Tee Choon Ser (Belia Negeri Pahang) serta Liyana Nur Hazirah binti Mohd Noor Azman (UCYP) yang berperanan sebagai perantara.

Menurut wakil ahli Parlimen Belia Malaysia, negeri Pahang, saudara Mohammad Irfan bin Mohd Zamri, rakyat Malaysia harus memahami makna rukun negara supaya kita dapat mengamalkan prinsip rukun negara dan menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju ke hadapan.

“Pemimpin-pemimpin muda harus memahami maksud rukun negara dengan lebih mendalam agar kefahaman tersebut dapat membentuk generasi muda yang dapat memberi contoh terbaik.  Rukun negara dapat membentuk perpaduan serta tonggak kepada keharmonian negara. Hal ini penting bagi memastikan generasi muda kini dapat mengekalkan kemerdekaan (dari pelbagai sudut) masa kini hingga ke masa akan datang” katanya ketika di dalam forum berkenaan.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam program ini adalah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Yang Hormat Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Bin Mohd Nawawi, Yang Hormat Naib Canselor University College of Yayasan Pahang (UCYP), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Zainuddin serta penganjur utama Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Bin Abdul Rahman, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Malaysia merangkap Yang Dipertua MUBARAK Pahang.

Turut hadir bagi menyampaikan penggulungan forum tersebut adalah YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari bin Haji Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan bukan Kerajaan Negeri Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika perasmian Wacana Rukun Negara & Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang Sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Kompleks Yayasan Pahang semalam

Ahli MUBARAK Malaysia dan Pahang yang dipimpin oleh Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Bin Abdul Rahman turut merakam gambar kenang-kenangan bersama YAB  Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang  

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin bersama Wan Emril Nizam Wan Embong, Presiden Belia Negeri Pahang (MBNP), dan ahli majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN)

Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz bin Abdul Rahman diiringi Naib Canselor UCYP Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad bin Haji Zainuddin menyerahkan cederamata kepada YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail

Sesi forum yang berlangsung – dari kiri, Tee Choon Ser (Belia Negeri Pahang), Mahendran a/l Shilowaras (UCYP), Liyana Nur Hazirah binti Mohd Noor Azman (UCYP), Mohamad Irfan bin Mohd Zamri (Ahli Parlimen Belia Malaysia, Negeri Pahang), dan Nurul Mazriefa binti Zakaria  (UMT)

YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari bin Haji Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan bukan Kerajaan Negeri Pahang telah menyempurnakan penggulungan forum Wacana Rukun Negara & Patriotisme Bersama Pemimpin Muda Negeri Pahang

Return to top of page