Skip links

NORMA BAHARU MAJLIS KONVOKESYEN VIRTUAL UCYP & KYP 2020

UCYP telah mengadakan Istiadat Konvokesyen Virtual secara temujanji yang pertama di Malaysia bersama Tuanku Canselor UCYP bermula pada 9 Oktober lalu di Kampus Utama, Tanjung Lumpur, Kuantan Pahang.

Istiadat yang dijalankan secara sederhana namun tetap meriah ini telah mendapat sambutan positif dari kalangan graduan dan ibu bapa yang sudah semestinya menantikan hari bersejarah ini.

Menurut Pendaftar UCYP, En Jalaluddin Abdullah, semua tenaga kerja Istiadat ini telah melakukan perancangan dan persiapan yang rapi demi memastikan program berjalan lancar serta mematuhi syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“UCYP telah menerima sebanyak 463 tempahan slot temujanji menerusi laman web rasmi konvokesyen, dan ini jelas menunjukan graduan dan ibu bapa mampu menerima norma baharu majlis sebegini”.

Tambahnya lagi, graduan yang ingin hadir ke Istiadat Konvokesyen ini perlu mendaftar dan memilih waktu temujanji seperti yang telah ditetapkan dan hanya maksimum 50 orang graduan sahaja dibenarkan hadir dalam satu hari mengikut tarikh yang diberi.

Menjelaskan segala persiapan majlis ini, Ketua Program yang juga Naib Presiden, Pejabat Penjenamaan dan Komunikasi Koprorat UCYP, Puan Suhaila Haji Mukhtar berkata, para graduan dan keluarga dikehendaki mengimbas kod My Sejahtera dan suhu badan akan disaring. Perkara ini penting bagi memastikan graduan dan keluarga bebas daripada gejala atau simptom sebelum memasuki perkarangan utama majlis tersebut.

“Setiap graduan akan diberikan masa selama 15 minit untuk berada dalam kawasan kampus UCYP termasuklah pemakaian jubah, sesi bergambar graduan dan keluarga serta pengambilan barangan cenderamata yang telah ditempah secara atas talian”.

Tambah beliau lagi, pihak pengurusan UCYP juga telah bersetuju melaksanakan sebanyak tiga (3) sesi konvokesyen pada setiap minggu bermula pada 9 Oktober sehingga 25 Oktober 2020.

gambar

Menurut salah seorang graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, UCYP Norshamra Soleha binti Ahmad Tarmizi berpendapat bahawa ia merupakan satu pengalaman baru apabila majlis konvokesyen di adakan secara norma baharu. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran graduan dan ibu bapa yang hadir apabila jumlahnya dihadkan mengikut peraturan dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Manakala En. Danial Abdullah, bapa kepada salah seorang graduan turut memuji pengendalian majlis konvokesyen. “Tahniah dan syabas kepada UCYP kerana telah menganjurkan majlis konvokesyen ini mengikut SOP”, tambahnya lagi.

Selain itu, salah seorang daripada ibu graduan turut berkongsi pengalaman menerusi satu hantaran facebook milik beliau yang memuji persiapan yang dilakukan oleh pihak univeristi.

feedback

Tahniah diucapkan kepada graduan dan seluruh kakitangan yang memastikan majlis konvokesyen norma baharu ini berjalan seperti yang dirancang.

Sesi bergambar secara virtual menggunakan skrin layar hijau bersama graduan

Ibu bapa graduan dikehendaki untuk mengimbas kod My Sejahtera sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan utama.

Pemakaian jubah konvokesyen oleh ahlijawatankuasa konvokesyen kepada graduan.

Return to top of page