Skip links

AGRO ART KIDS 2020 “SHAPING YOUTH FOR AGRICULTURE”

Fakulti Agroteknologi, University College of Yayasan Pahang (UCYP) dengan kerjasama Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Program Agro Art Kids 2020 di Kampus Utama UCYP, Tanjung Lumpur, Kuantan pada 26 September 2020 (Sabtu).

Program yang bertemakan Shaping Youth for Agriculture adalah bertujuan memupuk minat menanam di dalam diri peserta serta menyemai semangat cintakan alam sekitar dari peringkat kanak-kanak lagi. Program yang melibatkan peserta berumur dalam lingkungan 5 hingga 12 tahun di sekitar Kuantan telah mendedahkan peserta-peserta tentang cara-cara asas penanaman sayur secara organik seperti cara-cara menyemai biji benih, penyediaan media tanah campuran, cara-cara membuat kompos daripada sisa pertanian, cara memindahkan anak pokok ke atas batas serta menuai hasil sayuran. Selain itu, peserta juga terlibat dengan aktiviti mewarna pasu bagi mencungkil bakat seni peserta dan aktiviti ini boleh dipraktikkan oleh peserta di rumah dengan mengunakan barang-barang terbuang seperti botol dan sebagainya untuk membuat pasu hiasan.

Program tersebut turut disertai oleh ibu bapa di mana ibu bapa berpeluang mempelajari cara-cara membuat kokedama (pokok hiasan gantung) yang disampaikan oleh pihak UM. Aktiviti tersebut adalah aktiviti tambahan bagi program ini sementara menunggu anak-anak mereka membuat aktiviti di plot. Antara tarikan lain semasa program ini adalah Pameran Exotic Life Pets daripada J’s Animal Kingdom di mana peserta boleh bermain, bergambar serta mendekati hidupan eksotik.

Selain itu, Pameran Biochar yang disediakan turut memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bagaimana sisa pertanian boleh ditukar menjadi satu bahan organik yang boleh digunakan untuk menyuburkan tanah bagi kegunaan aktiviti pertanian.

Program Agro Art Kids ini juga adalah selari dengan 5 hala tuju Sustainable Development Goals iaitu Good Health and Well-Being, Quality Education, Sustainable Cities and Communities, Climate Action serta Life on Land.

Program Agro Art Kids mendapat sokongan daripada YB Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Negeri Pahang) serta kerjasama daripada YP Land, YP Mining, Green World Genetics (GWG) serta Young Planters Society (YPS).

Program ini telah dihadiri oleh Naib Canselor UCYP, Professor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin di mana beliau telah menyampaikan sijil penyertaan serta cenderamata penghargaan kepada peserta dan pihak UM. Turut hadir bersama adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Ts. Dr Hafizan binti Mat Som, Pendaftar, Encik Jalaluddin bin Abdullah serta Naib Presiden (Penjenamaan & Komunikasi Korporat), Puan Suhaila binti Hj. Mukhtar.

Pengarah Program Agro Art Kids, Cik Zahidah Ab Razak memaklumkan program berkenaan adalah program pertama yang dianjurkan oleh Fakulti Agroteknologi UCYP. Jelasnya, matlamat program ini antara lain bertujuan untuk memperkenalkan kewujudan Fakulti Agroteknologi yang baru ditubuhkan pada Januari 2020 dan tapak Urban Garden UCYP bagi projek pertanian bandar kepada masyarakat luar.

“Program ini dilihat memberi kesan positif kepada kanak-kanak terutamanya mereka yang tinggal di bandar supaya mereka juga terdedah dengan aktiviti di luar rumah dan mengisi masa lapang dengan menanam dan tidak hanya bermain gadget di rumah. Peserta juga dilihat sangat teruja dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan kerana ini adalah pengalaman pertama mereka bermain dengan tanah dan sisa pertanian”.

Rakan kerjasama daripada UM, Dr Rosazlin Abdullah turut menekankan tentang kepentingan Food Security dan Food Safety kepada peserta dan ibu bapa semasa program ini supaya mereka lebih menitikberatkan pengambilan makanan yang lebih berkhasiat serta memastikan bekalan makanan harian sentiasa mencukupi. Dr Rosazlin Abdullah juga telah berbesar hati menyampaikan cenderamata kokedama kepada Naib Canselor UCYP serta menyerahkan inovasi beliau iaitu Biorenewable Resource Biochar Kiln kepada Fakulti Agroteknologi UCYP.

Peserta sedang mengisi peat moss ke dalam bekas semaian untuk menyemai benih sayur

Menuai sayur kangkung bersama urusetia program

Aktiviti membuat kokedama bersama para ibu

Aktiviti mewarna pasu untuk dijadikan pasu hiasan

Pameran Biochar daripada pihak Universiti Malaya

Para ibu bapa bergambar dengan hasil kokedama masing-masing

Dr Rosazlin menyerahkan cenderamata kokedama kepada VC UCYP dan bertong Biorenewable Resource Biochar Kiln kepada Fakulti Agroteknologi

Peserta dan ibu bapa bergambar bersama VC UCYP, urusetia UCYP dan UM selepas tamat program

Return to top of page