Skip links

UCYP – UNIVERISTI PERTAMA MENGADAKAN MAJLIS KONVOKESYEN SECARA VIRTUAL

UCYP merupakan univeristi pertama di Malaysia yang berjaya melaksanakan majlis konvokesyen secara virtual bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Majlis yang berlangsung dalam norma baharu ini telah dilaksanakan sebanyak tiga (3) sesi dengan purata kehadiran graduan seramai 50 orang dalam tempoh satu masa.

Pelbagai inisiatif dan langkah berjaga-jaga telah dibincangkan dengan teliti diperingkat pengurusan universiti agar segala persiapan konvokesyen virtual ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan lancar.

Menurut Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad bin Haji Zainuddin, UCYP sentiasa meletakkan soal keselamatan sebagai aspek utama sebelum program tersebut dilaksanakan.

“Kami amat peka dengan situasi semasa. Justeru, pelbagai inisiatif dan langkah keselamatan telah dibincangkan bersama pengurusan UCYP, terutamanya soal keselamatan dan kesihatan petugas dan graduan. Oleh itu, untuk konvokesyen kali ini, ianya dibuat secara norma baharu dengan menjadikan asas teknologi hari ini sebagai jalan penyelesaian kepada pelaksanaan konvokesyen dan UCYP merupakan universiti yang pertama di Malaysia melaksanakan konvokesyen secara virtual”.

Menurut Ketua Program Majlis Konvokesyen Virtual UCYP & KYP 2020, Puan Suhaila Haji Mukhtar berkata, pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah membuka mata semua agar berfikir secara lebih kreatif. Kemajuan teknologi telah banyak memberi sumbangan dalam kehidupan seharian. Antara teknik yang dipraktikkan semasa sesi konvokesyen virtual adalah penggunaan suntingan super imposed gambar graduan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Gambar Tuanku Canselor telah  diambil terlebih dahulu di  Istana Negara pada 7 Oktober lalu. Manakala, gambar graduan diambil ketika sesi temujanji fotografi masing-masing di Kampus Utama, UCYP Tanjung Lumpur, Kuantan.  

Hal ini bersesuaian dengan konsep adaptif yang diterapkan oleh UCYP. Konvokesyen berkonsepkan virtual sememangnya langkah yang terbaik di samping membudayakan norma baharu dalam kalangan kakitangan dan graduan dengan panduan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kesemua sesi majlis konvokesyen virtual ini berjalan dengan selamat dan lancar serta menerima pelbagai reaksi positif daripada kakitangan, graduan, dan ibu bapa. 

Sepanjang ketiga-tiga sesi konvokesyen virtual UCYP telah merekodkan jumlah kehadiran seramai 376  Ia berlangsung selama sembilan (9) hari iaitu setiap hujung minggu selama tiga (3) minggu berturut-turut dan tidak melibatkan para graduan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sesi bergambar graduan menggunakan layar hijau

Ibu bapa graduan dikehendaki untuk mengimbas kod My Sejahtera dan saringan suhu dijalankan sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan utama.

Pemakaian jubah konvokesyen oleh ahli jawatankuasa konvokesyen

Sesi bergambar graduan bersama keluarga

Return to top of page