Skip links

UCYP WAKIL MALAYSIA DI FORUM PRESIDEN UNIVERSITI WANITA DUNIA KE-9

Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur diberi penghormatan bagi menyampaikan ucaptama sempena Forum Presiden Universiti Wanita Dunia ke-9 yang berlangsung secara atas talian pada 7 November 2020 jam 8.40 malam sabtu lalu.

Program ini berlangsung di China dan dihoskan oleh tiga badan penganjur utama iaitu Women Leadership Academy, Xi’an Technological University dan Communication University of China dengan tema Global Empathy, Mutual Learning Among Civilizations dan University Innovation.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur satu-satunya pemimpin wanita Asia Tenggara dipilih mewakili UCYP dan Malaysia bagi menyampaikan ucaptama menerusi platform zoom di hadapan 180 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil presiden wanita dari seluruh dunia.

Dalam ucaptama tersebut, beliau telah berkongsi pengalaman dan pandangan tentang kesamarataan jantina dan pemerkasaan wanita dalam bidang keusahawanan terutamanya di negara-negara Asia seperti Nepal, China dan Malaysia.

”Pendedahan E-dagang sebagai platform untuk perniagaan telah membuahkan hasil kepada golongan wanita di China. Perniagaan atas talian E-dagang berkembang pesat di sana dan golongan wanita telah mengambil peluang keemasan ini untuk melibatkan diri dalam bidang tersebut”. Tambahnya lagi, golongan wanita di China dan negara-negara lain dilihat mampu menjadi tulang belakang kepada ekonomi keluarga.

Beliau turut menyeru agar pelaburan dalam sektor keusahawanan perlu dipertingkatkan lagi sebagaimana contoh yang telah diberikan oleh Grameen Bank of Bangladesh malah Malaysia juga turut menyediakan pemberian insentif seperti pinjaman bagi membuka peluang kepada golongan wanita terutamanya ibu-ibu tunggal, golongan kelainan upaya dan miskin bagi memperkasakan aktiviti keusahawanan.

“Golongan wanita yang terpinggir seperti ibu tunggal, golongan kelainan upaya, dan miskin diberi peluang untuk menjadi ahli Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Keahlian adalah inklusif, bersesuaian dengan mereka yang berasal dari kawasan bandar dan pedalaman ”.

Di akhir  ucapannya, beliau turut berkongsi pengalaman ketika melakukan tugasan di luar negara dengan melihat keupayaan wanita dalam menghadapi cabaran kemiskinan. Perkara ini mendorong golongan wanita untuk menceburi dan memajukan diri dalam bidang keusahawanan demi kelangsungan hidup. Komitmen yang ditunjukan oleh wanita secara tidak langsung telah menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara di peringkat lokal dan global.

Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur ketika berucap di hadapan 180 delegasi di China melalui platform zoom sabtu lalu.

Persediaan ucaptama oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.

Return to top of page