Skip links

UCYP SQUAD: CAKNA SITUASI, AGIH SUMBANGAN UNTUK KOMUNITI

Pada awal tahun 2021, Malaysia dikejutkan dengan bencana banjir yang memberi kesan kepada penduduk di beberapa buah negeri seperti Johor, Terengganu, dan Kelantan. Negeri Pahang turut tidak terkecuali daripada menerima musibah ini.

Cakna akan kepayahan yang menimpa mangsa banjir khususnya penduduk negeri Pahang, UCYP SQUAD: Projek Pengumpulan Pakaian Terpakai ditubuhkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan dengan bencana ini. Projek ini berlangsung selama lima (5) hari bermula 25 Januari 2021 hingga 30 Januari 2021.

Inisiatif kerjasama Pusat Kaunseling dan Kerjaya UCYP dan Jabatan Penjenamaan dan Komunikasi Korporat UCYP membuahkan hasil dan berjaya merealisasikan hasrat murni ini.

Penolong Naib Canselor, Pejabat Penjenamaan dan Komunikasi Korporat UCYP, Puan Suhaila Haji Mukhtar turut hadir sebagai wakil UCYP ketika sesi penyerahan sumbangan berbentuk pakaian terpakai kepada Pejabat Adun Kerdau, Temerloh Pahang untuk disalurkan kepada mangsa yang terlibat bencana banjir baru-baru ini.

Projek pengumpulan pakaian terpakai ini telah berjaya mengumpul lebih daripada 20 kotak pakaian terpakai.

“Banjir kali ini agak teruk berbanding tahun sebelum ini selain mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda penduduk.

Oleh kerana bencana yang berlaku ini mengakibatkan kerugian dan kehilangan harta kepada mangsa, kami di UCYP terpanggil untuk mengumpulkan pakaian-pakaian terpakai yang disumbangkan sepenuhnya oleh keluarga besar KYP Education Sdn. Bhd. (KESB), UCYP, dan KYP. Harapan kami agar sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban penduduk tempatan”.

Projek sumbangan ini telah melibatkan seramai 30 sukarelewan yang terdiri daripada kakitangan KESB, UCYP dan KYP dengan pematuhan SOP yang ketat.

Menurut pengarah projek, Puan Norhidayah binti Mohd Ibrahim yang juga Kaunselor Kanan UCYP, program komuniti seperti ini sememangnya sangat perlu dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat. Malah beliau turut berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang lebih-lebih lagi kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, gelandangan dan golongan yang kurang bernasib baik.

“Doa saya agar aktiviti seperti ini sentiasa mendapat perhatian, sokongan serta dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua penyumbang dan sukarelawan SQUAD UCYP atas sumbangan tenaga dan masa demi menjayakan program ini. Malahan ucapan terima kasih juga dipanjangkan kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Adun Kerdau, Temerloh dan Encik Ahmad Khairuddin Bin Mat Taib, Pegawai Khas Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, Adun Bebar, Pekan Pahang kerana sudi menerima sumbangan daripada UCYP”.

Penyerahan sumbangan bantuan berupa pakaian kepada En. Ahmad Khairuddin bin Mat Talib, pegawai Khas YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff (Adun Bebar, Pekan Pahang)

Penyerahan sumbangan bantuan berupa pakaian kepada YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Exco / Adun Kerdau, Temerloh).

Proses pengasingan pakaian terpakai dijalankan oleh sukarelawan sebelum disumbangkan kepada mangsa yang terlibat dengan bencana banjir.

Return to top of page